Bicara Perdana Menteri

"FELDA telah membuktikan ia bukan jaguh kampung dengan membuat pelaburan membuka kilang-kilang di Amerika Syarikat dan Kanada.  Malahan Perdana Menteri Quebec, Kanada memandang tinggi terhadap FELDA."

Petikan Ucapan YAB Dato' Sri Mohd Najib.

Setulus Bicara

"Sejak 50 tahun kerajaan beri kita berbilion ringgit. Banyak mana pun,ia tidak berguna jika gagal memberi sokongan terhadap pelbagai program dijalankan kerajaan."

Petikan Ucapan Y.Bhg Tan Sri Rozali Ismail, Pengerusi GWGF.
Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)

Terdapat 62 buah pusat PDK di tanah-tanah rancangan FELDA di seluruh negara termasuk Sabah yang terlibat dalam Program Semai Bakti PDK. Pahang adalah negeri terbanyak mempunyai pusat PDK di tanah-tanah rancangan. Dari segi pentadbiran dan struktur, prasarana pusat PDK di tanah rancangan disediakan oleh pihak FELDA manakala kewangan atau geran tahunan disalurkan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Dari segi struktur organisasi, PDK mempunyai Pengerusi dan barisan jawatankuasa manakala urus tadbir pula diketuai oleh seorang penyelia dan beberapa orang petugas serta pembantu bergantung jumlah pelatih OKU.

Di sesetengah tempat PDK telah beroperasi di premis sendiri di mana peruntukan pembinaan bangunan PDK disediakan oleh FELDA. Namun begitu, masih ada lagi pusat-pusat PDK yang menyewa atau menumpang di premis-premis pertubuhan lain seperti pertubuhan belia, JKKK/JKKKR, sekolah atau GPW. Ini mungkin disebabkan ia hanya baru ditubuhkan ataupun peruntukan masih belum diluluskan oleh pihak pengurusan FELDA. Dalam sesetengah kes, FELDA turut menyediakan tenaga kerja petugas dan pembantu dengan elaun yang dibayar oleh FELDA berdasarkan keperluan.

Dari segi modul pembelajaran, kesemua pusat PDK menggunakan modul dan pendekatan yang hampir sama kerana modul asas telah ditetapkan oleh pihak JKM. Namun di sesetengah pusat PDK ada menggunakan modul khas dengan penglibatan pihak-pihak lain selaian JKM seperti PDK Net di PDK Bukit Senggeh. Selain daripada itu, beberapa buah PDK turut menyediakan bilik khas untuk dijadikan pusat terapi sama ada terapi dengan menggunakan warna dan cahaya. Di samping itu, terdapat juga pusat PDK yang menjadikan projek pertanian sebagai pendekatan terapi atau dinamakan terapi agro. Berikut adalah modul-modul asas yang digunakan di PDK:

(1) Pembelajaran Motor Kasar
(2) Pembelajaran Motor Halus
(3) Kemahiran Urus Diri
(4) Perkembangan Bahasa
(5) Perhubungan Sosial
(6) Kemahiran Pra Bacaan dan Pra Tulisan
(7) Kognitif
(8) Komuniti dan Budaya
(9) Muzik
(10) Seni dan Kraftangan
(11) Pendidikan Moral
(12) Rekreasi dan Riadah
(13) Vokasional & Kemahiran (Kraftangan, Pertanian)

Hampir semua pusat PDK beroperasi dari pukul 8 pagi - 12 tengahari, dari hari Isnin hingga Khamis dan hari Jumaat adalah dikhususkan untuk lawatan ke rumah bagi negeri-negeri di Pantai Barat. Manakala bagi negeri yang cuti hujung minggu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, iaitu di Terengganu, Kelantan dan Kedah, PDK beroperasi dari hari Ahad ke Rabu dan Khamis adalah hari lawatan ke rumah.

Nota:

Terdapat sesetengah maklumat pusat-pusat PDK belum dikemaskini dan akan dikemaskini dari masa ke semasa. Harap maaf.