SHAH ALAM - Tiada jaminan Felda akan kekal untuk bumiputera sekiranya pemerintahan negara dikuasai oleh parti lain selain Barisan Nasional (BN).


Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Tan Sri Rozali Ismail berkata, kepimpinan dibawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa memberikan komitmen yang kuat dalam membantu masyarakat peneroka dan generasi baru Felda.

Katanya, GWGF yang mewakili 14 pertubuhan yang terdiri daripada 600,000 peneroka Felda sebulat suara menyokong penuh BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.


"Kerajaan diterajui UMNO dan BN telah banyak berjasa kepada masyarakat Felda dan Generasi Baru Felda sejak penubuhan Felda pada 1956 hingga kini.

"Justeru, kita akan menggembeling tenaga dan berkerja kuat dalam memastikan kemenangan UMNO dan BN di seluruh tanah rancangan Felda di seluruh negara pada PRU-14 nanti," katanya pada sidang akhbar khas GWF di Wisma Rozali sebentar tadi.

Sehubungan itu, beliau menegaskan adalah tidak adil sekiranya masyarakat Felda menukar sokongan kepada parti lain setelah BN berjaya merubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. - K! ONLINE